Selasa, 20 Desember 2011

Selasa, 06 Desember 2011

Kyai Ahmad Qusyairi Shiddiq


Kiyai Ahmad Qusyairi bin Shiddiq bin ‘Abdullah bin Saleh bin Asy`ari bin Muhammad Adzro`i bin Yusuf bin Sayyid ‘Abdur Rahman (Mbah Sambu) bin Sayyid Muhammad Hasyim bin Sayyid ‘Abdur Rahman BaSyaiban bin Sayyid ‘Abdullah bin Sayyid ‘Umar bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Ahmad bin Sayyid Abu Bakar BaSyaiban bin Sayyid Muhammad AsadUllah bin Sayyid Hasan at-Turabi bin Sayyid ‘Ali bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad Ba ‘Alawi al-Husainiadalah salah seorang ulama terkenal di Tanah Jawa. Beliau dilahirkan di sebuah desa bernama Sumbergirang yang terletak dalam Kota Lasem, Rembang, Jawa Tengah, pada 11 Sya’baan 1311H / 17 Februari 1894M. Beliau memulakan pengajian agamanya dengan ayahanda beliau yang sememangnya terkenal sebagai seorang ulama. Pengajian agamanya diteruskannya ke beberapa buah pondok pesantren antaranya di Langitan Tuban, Kajen Pati (Kiyai Khozin), Semarang (Kiyai Umar) dan Syaikh Kholil Bangkalan. Beliau mempunyai hubungan yang amat rapat dengan Syaikh Kholil Bangkalan yang terkenal sebagai ulama terbilang lagi wali.
Dikisahkan, suatu malam pada akhir Ramadhan, Syaikh Kholil menyuruh segenap santrinya mencari Lailatul Qadar. Tidak seperti santri lainnya yang melakukan riyadhah sepanjang malam, Kiyai Ahmad Qusyairi justru sebaliknya. Setelah melakukan riyadhah ala kadarnya, beliau tertidur di teras masjid. Tak lama kemudian, menjelang Shubuh, Syaikh Kholil berkeliling mengitari pesantren. Tiba-tiba beliau melihat seberkas cahaya datang dari atas, lalu jatuh ke salah seorang santri yang sedang tidur. Karena suasana gelap gulita, ia hampiri santri itu lalu mengikat salah satu ujung sarung yang dikenakan, sebagai tanda.Selepas shalat Shubuh, Syaikh Kholil membuat pengumuman: “Siapa di antara kalian yang sarungnya ada bundelan (tali simpul) nya?”, setelah ditunggu agak lama, tak satu pun santri yang menjawab, termasuk Kiyai Ahmad Qusyairi yang tak menyadari dialah yang dimaksud. Setelah mengetahui salah satu ujung sarungnya tersimpul, dia justru ketakutan. Tetapi karena Syaikh Kholil bertanyakan lagi, dia pun mengaku dengan penuh ketakutan, kerana Syaikh Kholil memang terkenal dengan ketegasannya. Tapi apa yang terjadi? Ternyata Syaikh Kholil tidak marah, malah tersenyum sambil berkata: “Mulai sekarang kalian (semua santri) tak payah lagi mengaji kepadaku. Cukup mengaji pada Ahmad Qusyairi.” Mendengar itu Kiyai Ahmad Qusyairi seakan tak percaya, dan sejak itu, para santri mengaji kepadanya. Di kemudian hari, beliau terkenal memiliki ilmu ladunni, di mana kemampuan ilmu didapatkan tanpa melalui proses belajar sebelumnya, tetapi kerana kemurahan Allah semata-mata.
Di antara kelebihan Kiyai Ahmad Qusyairi adalah kemampuannya menguasai berbagai bahasa selain bahasa ibundanya dan Bahasa Arab. Antara bahasa yang dikuasainya ialah Bahasa Belanda, Bahasa Inggeris, Bahasa Jepun dan Bahasa Cina. Beliau juga dikenali sebagai penyair yang mahir membuat dengan spontan syair-syair berbahasa Arab. Antara karangan yang ditinggalkannya ialah sebuah nazam sufi yang berjumlah 312 bait diberi jodol “Tanwir al-Hija” berhubung ‘aqidah dan ibadah. Karangannya ini diberi perhatian oleh para ulama, bahkan Habib Alawi bin ‘Abbas al-Maliki, ayahanda Buya Dr. Habib Muhammad al-Maliki, telah memberikannya syarah yang panjang diberi jodol ” Inarat ad-Duja“. Dan kerana besarnya kecintaannya kepada Junjungan Nabi s.a.w. dan amalan bersholawat kepada baginda, maka selain mengamalkan “Dalailul Khairat“, beliau juga mempunyai himpunan sholawat yang dinamakannya “al-Wasiilatul Harriyyah fish Sholawaati ‘ala Khairil Bariyyah“.
Kiyai Ahmad Qusyairi gemar berkelana untuk berdakwah dan menyebarkan ilmu. Beliau juga berjaya membangun beberapa buah masjid di tempat-tempat yang dikunjunginya. Setelah berkahwin dengan puteri Kiyai Yaasin, maka tugas mengasuh Pesantren Salafiyah Pasuruan diserahkan kepadanya. Beliau meninggalkan dunia yang fana ini pada 22 Syawal 1392H / 28 November 1972M, dengan meninggalkan seramai 15 orang anak antaranya Syaikhunal Mukarram Kiyai ‘Abdur Rahman bin Ahmad Qusyairi hafizahUllah. Jenazah beliau dimakamkan di kawasan pemakaman belakang Masjid Jami` al-Anwar, Pasuruan. Mudah-mudahan Allah sentiasa membasahikan makamnya dengan siraman hujan rahmat dan kasih sayang. Al-Fatihah.
*******************************************************

Inilah Sholawat Shiddiqiyyah yang tertulis pada akhir halaman kitab “al-Wasiilatul Hariyyah” di mana ianya mengandungi permohonan, dengan berwasilahkan amalan sholawat ke atas Junjungan serta kehormatan Junjungan Nabi dan sahabat baginda Sayyidina Abu Bakar as-Shiddiq r.a., agar dianugerahkan teman yang baik, perjalanan yang aman, kelepasan dari segala kesulitan dan kepayahan.

Syaikh Ahmad Khatib Sambas


Salah seorang ulama kelahiran Pulau Borneo yang memiliki keistimewaan tersendiri dengan mempelopori satu tarekat yang menggabung dua tarekat menjadi satu. Tarekat yang berpengaruh tersebut dikenali sebagai Tarekat Qadiriyyah wan Naqsyabandiyyah. Ulama tersebut adalah Syaikh Ahmad bin ‘Abdul Ghaffar bin ‘Abdullah bin Muhammad bin Jalaluddin yang dilahirkan di Kampung Dagang, Sambas, Kalimantan Barat pada bulan Shafar al-khair 1217H (1803M).
Apabila usia beliau 19 tahun, beliau pergi ke Makkah untuk memperdalamkan lagi ilmunya. Di sana beliau berguru dengan Tok Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani. Selain berguru dengan Tok Syaikh Daud, beliau juga pergi belajar dengan Syaikh Muhammad Sholih bin Ibrahim ar-Rais, Syaikh, Syeikh ‘Umar ‘Abdur Rasul, Syaikh ‘Abdul Halim al-‘Ajami, Syaikh Bashri al-Jabarti, Sayyid Ahmad Al-Marzuqi (Mufti Maliki Makkah), Sayyid ‘Abdullah bin Muhammad Al-Mirghani, Syaikh ‘Uthman ad-Dimyathi dan ramai lagi. Kemasyhurannya, sama ada peringkat Nusantara mahu pun antarabangsa pada zamannya tidak dinafikan. Sekurang-kurangnya terdapat dua buah kitab yang ditulis dalam bahasa Arab oleh orang Arab, menceritakan kisah ulama-ulama Mekah dan nama Syeikh Ahmad Khathib Sambas juga terdapat di dalamnya iaitu “Siyar wa Tarajim” karya Syaikh ‘Umar ‘Abdul Jabbar dan “al-Mukhtashar min Kitab Nasyrin Naur waz Zahar” karya Syaikh ‘Abdullah Mirdad Abul Khair yang diringkaskan oleh Syaikh Muhammad Sa’id al-’Amudi dan Syaikh Ahmad Ali.Syaikh Ahmad Khatib bermukim di Makkah sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1289H / 1872M. Beliau meninggalkan ramai murid dan khalifah, antaranya ialah Syaikh Abdul Karim Banten, Syaikh Tolhah Cirebon, Sayyidul Ulama Hijaz Syaikh Nawawi al-Bantani, Syaikh Muhammad Yaasin Kedah, Syaikh ‘Abdul Lathif bin ‘Abdul Qaadir Sarawak dan ramai lagi. Tarekat yang dipeloporinya mendapat tempat di kalangan ulama dan awam. Bahkan ramai ulama yang telah mengambil bai`ah ijazah dan talqin daripada beliau dan khalifah-khalifahnya. Antara yang mengambil talqin tersebut ialah Syaikh ‘Utsman as-Sarawaki yang menerima talqin zikir Tarekat Qadiriyyah wan Naqsyabandiyyah daripada khalifah beliau Syaikh Abdul Karim Banten. Bahkan sehingga kini ajaran dan amalan tarekatnya tetap mempunyai pengikut dan berpengaruh di rantau ini. Amalan, silsilah dan wirid tarekat beliau boleh dilihat dalam kitab “Fathul ‘Aarifiin” yang beliau imla`kan kepada muridnya bernama Syaikh Muhammad bin Ismail bin ‘Abdur Rahim al-Bali dalam bulan Rajab 1295H/1877M, kemudian ianya ditashhihkan oleh Syaikh Ahmad al-Fathani dan dicetak pertama kalinya tahun 1305H/1887M. Kitab ini sehingga kini masih tersebar.Mudah-mudahan Allah sentiasa merahmati Syaikh Ahmad Khatib Sambas serta para guru beliau dan sekalian ulama dan awam umat ini. Al-Fatihah.